Anak ku…
Semalam, 24 September 2009, Nurdini Adriana telah menyambut ulangtahun ke 7. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Disini ingin aku kongsikan sedikit dari pengalaman ku, untuk tatapan anak anak ku …
Anakku,
Ketahuilah bahawa kita adalah dari keturunan yang berasal dari daerah Padang, Sumatera. Masih ramai saudara kita yang berada di sana.
Diceritakan bahawa, Tok Padang adalah bermulanya cerita kita di Tanah Melayu ini.
Diceritakan : Tok Padang adalah seorang yang dihormati di daerah Padang dan beliau juga pernah menjadi Post Master di kawasannya.
Tok Padang juga mempunyai ilmu batin yang diperturunkan dari generasi ke generasi, sehingga ke hari ini. Terbaru adalah Pak Long mu, Khairul Nizam, akan mewarisinya. Ilmu apa yang diperturunkan, wallahualam. Tapi ianya sudah pasti untuk kesejahteraan keturunan Tok Padang di Tanah Melayu ini.
Ketahuilah juga, Tok Padang adalah juga berketurunan darah istana di Sumatera itu. Tetapi, aku gagal menyelami pokok pangkal sirah keturunan istana itu.
Anak Tok Padang ialah Tok Ayah Omar, iaitu ayah kepada Alwi , ayah kepada aku. Berketurunan Mandaling dan Telu, kita di sini, hari ini.
Besarlah harapan ku agar bahasa serta adat, Mandaling dan Telu ini, tidak hilang ditelan zaman.
Anakku,
Walaupun kita berada dizaman serba canggih dan moden ini, janganlah lupa kepada asal usul kita, serta adat serta adab kepada alam semesta, sementara kita masih hidup ini. Ingin ku pesan beberapa perkara :
1. Jika kita hendak keluar rumah (dengan meninngalkan rumah kosong), pastikan Ketua Rumah adalah yang terakhir meninggalkan rumah.
2. Selepas memeriksa semua bahagian rumah (peralatan elektrik dimatikan, tingkap & pintu belakang ditutup, dapur memasak tidak digunakan/ditutup dll) barulah Ketua Rumah keluar dari rumah.
3. Keluarlah dengan kaki kanan sambil terus terusan berselawat (sambil keluar dari rumah, sambil mengunci pintu rumah, sambil mengunci pagar rumah).
4. Jika keluar / balik kerumah pada waktu malam, pastikan semua anggota keluarga, sekurang kurangnya membersihkan diri dengan berwudhu sebelum masuk ke rumah. Ini adalah untuk “menghalang” entity yang tidak sepatutnya, mengikut kita masuk ke dalam rumah dan seterusnya mengganggu kita di waktu malam hari.
5. Selepas itu, sebelum masuk ke rumah, pastikan kita masuk ke rumah dengan membelakangkan badan kita ke arah pintu masuk, dan melangkahlah ke belakang untuk masuk ke dalam rumah.
6 Pastikan juga kita “menghalau” entity tersebut (sambil masuk kerumah) dengan menyebut “PERGI SANA ! JANGAN IKUT KAMI !” atau perkataan yang seumpamanya.
7. Apabila kita berpindah ke rumah baru, sebelum bermalam untuk pertama kali di rumah tersebut, pastikan kita “memagar” rumah tersebut dari entity yang tidak berkenaan.
Caranya ialah :
a. Sediakan air yasin (sekurang kurangnya semangkuk).
b. Semua bahagian rumah yang boleh “dibuka”, dibuka sepenuhnya (contoh : pintu, tingkap, almari dan sebagainya)
c. Dengan menggunakan tangan, “taburkan” air yasin tadi ke SEMUA bahagian yang terbuka tadi sambil berselawat ke atas Rasulullah SAW dengan setiap "taburan". Dalam ertikata yang lain, buatlah perkara tersebut ke sekeliling rumah.
d. Setelah selesai, terus tutup bahagian yang dibuka tadi (pintu, tingkap dll) dan jangan dibuka sehingga keesokan hari.
e. Jalanilah kehidupan seperti biasa pada hari hari selanjutnya di rumah baru tersebut.
f. Janganlah lupa adat meninggalkan rumah yang biasa, seperti : memaklumkan kepada jiran, tinggalkan nombor telefon yang boleh dihubungi dan lain lain lagi.
Anakku,
Tidak banyak ilmu yang mampu aku “turunkan” kepada kamu semua. Jagalah dirimu sebaik mungkin. Perkara perkara yang aku sebutkan diatas tadi, hanyalah sebagai pelindung dan penjaga kepada diri, keluarga serta tempat tinggal kita. Insya allah, segalanya akan diberkati Allah dan Dia lah Maha Penjaga kepada alam semesta ini.
Berkatkan lah dirimu dengan berkongsi adat adat ini dengan sahabat handai serta rakan taulan yang lain. Insya allah, kita semua akan diberkati.
Salam sayang dari Ayah mu,
Walid
No comments:
Post a Comment